Tuesday 28 February 2012

Susui bayi seawal mungkin


TIDAK dapat dinafikan segala perancangan penyusuan bayi harus bermula dari peringkat awal iaitu semasa mengandung yang mana si ibu perlu melengkapkan dirinya bukan saja dengan pemakanan seimbang tetapi juga melengkapi emosi diri.

Namun, ramai juga ibu yang sering tertanya-tanya kaedah untuk menghasilkan susu yang banyak supaya tidak perlu dicampur dengan susu formula.
“Pemakanan seimbang yang tinggi kalsium seharusnya diteruskan ketika menyusukan bayi untuk memenuhi keperluan zat dan tumbesaran bayi. 

“Malah, si ibu terbabit perlu menyambung pengambilan vitamin prenatal dan minum air yang mencukupi untuk menampung kedua-dua ibu dan anak,” kata Pakar Kanak-Kanak, KPJ Seremban, Dr Wan Maziah Wan Mohamed.


Selain itu katanya, si ibu juga memerlukan waktu rehat yang mencukupi dan perlu sentiasa berada dalam keadaan tenang. Ia mungkin tidak begitu mudah jika si ibu berkenaan perlu juga menjaga anak yang lain oleh itu, sokongan keluarga sangat penting.


Kadangkala si ibu juga perlu mengambil ubat untuk masalah kesihatan lain justeru, mereka seharusnya merujuk kepada doktor untuk memastikan ia selamat digunakan sewaktu proses penyusuan (laktasi).

“Menyusu bayi seawal mungkin (sebaik-baiknya dalam jam pertama selepas bersalin) akan membantu pengeluaran susu lebih cepat dan banyak. 

“Ini disebabkan setiap kali bayi menyusu, ibunya akan dirangsang dan pengeluaran hormon prolaktin dan oxytocin akan membantu menambah susu,” katanya.

Oleh itu katanya, lebih kerap bayi menyusu pada peringkat awal, lebih cepat terhasil pengeluaran susu yang mencukupi. 

Namun, jika bayi diberi susu formula untuk menampung keperluan bayi pada minggu pertamanya, rangsangan kepada si ibu menjadi kurang dan pengeluaran susu ibu juga akan tergendala. 

Malah, manfaat susu ibu untuk memberi perlindungan kepada usus bayi berkenaan juga akan terjejas kerana koloni bakteria baik akan berkurangan.

Di samping itu, Dr Wan Maziah berkata, pemberhentian susu ibu lebih awal ataupun tidak menyusu ibu dikaitkan dengan risiko lebih tinggi untuk si ibu menghidap penyakit kemurungan selepas bersalin (postpartum).

Kemurungan postpartum ialah ketidakseimbangan kimia yang secara amnya berlaku antara dua hingga lima minggu selepas seseorang wanita melahirkan anak.

Tekanan perasaan tahap kedua ini dikategorikan sebagai sederhana, juga dikenali sebagai kemurungan dan biasanya dialami sekitar 10 hingga 15 peratus wanita bersalin. 

Masalah kemurungan ini boleh berpanjangan jika tidak dirawat. Selalunya, ia menyerang dalam tempoh pantang atau enam bulan pertama selepas bersalin. 

“Antara gejala kemurungan ini adalah rasa sedih berpanjangan, rendah diri dan berasa dia bukan ibu yang baik bagi anak dilahirkan, tidak boleh menumpukan perhatian, letih dan tertekan, kurang selera makan serta sukar tidur malam. 

“Namun, masalah ini boleh dirawat melalui perubatan dan terapi jika berjaya dikesan pada peringkat awal. Tetapi paling penting adalah sokongan keluarga terutama suami yang banyak membantu menangani gejala ini daripada berterusan,” katanya.

Baginya, menyusukan bayi dengan susu ibu adalah salah satu langkah bijak yang boleh diambil sepanjang proses tumbesaran anak.

Katanya, banyak kajian dilakukan sama ada menggunakan kaedah epidemiologi dan teknik makmal yang canggih menunjukkan terdapat banyak manfaat terhadap penggunaan susu ibu kepada anak jika ia diberikan sejak awal kelahirannya.

Antaranya merangkumi faedah kesihatan, imunologi, perkembangan dan tumbesaran anak, psikologi serta faktor sosio ekonomi namun begitu, masih ramai golongan ibu yang tidak menyusukan bayi mereka secara khusus.

“Keadaan ini mungkin disebab�kan masih ramai tidak mengetahui atau tidak begitu yakin dengan khasiat susu ibu ataupun disebabkan proses menyusukan anak memerlukan dedikasi dan disiplin yang tinggi daripada kedua-dua ibu bapa. 

“Ada golongan ibu yang melihat penyusuan susu ibu hanya dilakukan oleh orang kampung saja lantas mereka enggan meneruskan penyusuan apatah lagi adanya pelbagai faktor kekangan seperti kerjaya,” katanya.

Menurutnya, penyusuan ibu sebaik-baiknya secara eksklusif dilakukan selama enam bulan dan diteruskan hingga satu tahun untuk meraih sebanyak mungkin manfaat daripadanya. 

Apakah sebenarnya khasiat susu ibu? Kenapa ia dikenali sebagai makanan terbaik bagi bayi dan digunakan sebagai ‘standard emas’ untuk pembuatan susu formula?

Dr Wan Maziah berkata, susu ibu adalah satu produk ‘hidup’ yang mengandungi pelbagai antibodi, enzim dan hormon yang tidak mungkin mampu dihasilkan secara buatan. 

Malah, kandungan susu ibu berkenaan berbeza mengikut individu dan peringkat perkembangan mereka. Disebabkan itu, golongan ibu mengeluarkan susu paling sesuai untuk bayi mengikut kematangan bayi mereka dan kesan daripada penyusuan susu ibu ini akan kekal hingga dewasa.

“Kajian menunjukkan penurunan risiko penyakit akut otitis media, cirit-birit, jangkitan saluran pernafasan yang teruk, dermatitis atopi, asma (kanak-kanak), obesiti, diabetes jenis 1 dan 2, leukemia, sindrom kematian mengejut bayi dan necrotising enterocolitis. 

“Malah, tidak dinafikan masih banyak lagi kajian sedang dilakukan untuk mengenal pasti kandungan lain susu ibu dan khasiatnya yang mampu mempengaruhi tumbesaran terbaik bagi bayi,” katanya.

Manfaat penyusuan ibu bukan hanya tertumpu kepada bayi kerana ia membentuk jalinan rapat antara si ibu dan bayi. 

Proses berkenaan juga berupaya mempercepatkan pengecutan rahim kepada normal selain boleh mengurangkan berlakunya diabetes jenis 2, osteoporosis, kanser payudara dan kanser ovari. 

“Malah, penyusuan ibu juga baik daripada segi sosio ekonomi kerana selain diperoleh secara percuma, ia juga menjimatkan kos rawatan hospital disebabkan anak lebih sihat.

“Anak yang sihat mempunyai minda lebih cerdas serta mampu menjadi insan lebih sempurna, berjaya dan menghasilkan generasi akan datang yang lebih cemerlang,” katanya.

Selepas ibu mula bekerja, disarankan supaya si ibu meneruskan penyusuan susu ibu dengan cara menyimpan perahan susu dalam peti sejuk beku dan digunakan bila perlu ketika waktu bekerja.

Selain itu, tekanan pekerjaan juga boleh mengurangkan pengeluaran susu, namun terdapat ubat yang boleh membantu menambahkan susu tetapi golongan ibu seharusnya mendapat nasihat daripada doktor sebelum mencubanya.

Pengambilan ubatan untuk menambah susu seperti ini harus digunakan sebagai langkah terakhir jika semua ikhtiar yang dilakukan tidak berhasil dan diingatkan, rangsangan terbaik masih daripada bayi yang menyusu badan.

“Terdapat juga keadaan tertentu seperti masalah kesihatan yang memaksa golongan ibu untuk memberi susu formula. Si ibu terbabit perlu memilih susu formula yang tidak membuatkan bayi sembelit atau cirit-birit serta tidak menimbulkan alahan.

“Jika keadaan ini berlaku maka si ibu tidak perlu bersedih kerana tidak mampu memberikan makanan terbaik (susu ibu) kepada bayi kerana bayi masih lagi mampu membesar sebaiknya jika cara dan langkah yang dilakukan mengikut aturan yang betul,” katanya.


Sumber : harian Metro

Friday 3 February 2012

Penyebab ketiadaan susu


Antara penyebab ibu-ibu mengalami kekurangan/kekeringan/ketiadaan susu badan (tanpa mengabaikan rangsangan dari hisapan bayi & pam) semasa awal kelahiran:

Anemia
Ketidakseimbangan hormon tiroid
Hypopituitarism
Polycystic Ovarian Syndrome (PCOS)
Gestational ovarian theca lutein cyst (keadaan ni sangat jarang berlaku)
Menghidap kencing manis & bergantung pada insulin
Tak cukup tisu glandular (IGT)
Pernah jalani pembedahan payudara
Plasenta tak keluar lagi/tak keluar habis
Sindrom Sheehan, apabila pituitari kekurangan darah disebabkan oleh pendarahan
semasa melahirkan, so ia tidak menghasilkan hormon mencukupi utk laktasi.
Obesiti.
Tekanan semasa melahirkan, kehilangan darah etc.
Pengambilan drug Pitocin semasa proses kelahiran
Penggunaan pil perancang yang mengandungi estrogen dan progesteron.
Edema disebabkan oleh IV.
Pengambilan ubat-ubatan tertentu.
Pengambilan herba/jamu yang mengandungi sifat anti-laktogenik.