Showing posts with label Hukum penyusuan. Show all posts
Showing posts with label Hukum penyusuan. Show all posts

Monday, 4 February 2013

Penyusuan anak angkat

SAYA telah berkahwin selama 15 tahun tetapi tidak mempunyai anak. Saya dan suami telah mencuba pelbagai rawatan sama ada secara moden atau tradisional. Malangnya kami masih tidak berjaya. Kami juga mencuba rawatan secara persenyawaan in-vitro (IVF) sebanyak dua kali namun saya masih tidak hamil. Kami reda dan bercadang mengambil anak angkat. Mohon doktor membantu cara untuk mencetuskan penyusuan ibu bagi anak angkat tersebut. Bilakah cara yang patut dimulakan? Bagaimanakah hukum berkenaan bayi susuan ini?
Artikah, Selangor

JAWAPAN:
Saya amat memahami keadaan puan dan suami. Saya tahu puan ialah seorang yang amat tabah. Insya-Allah saya amat yakin puan akan berjaya untuk menyusukan anak angkat puan nanti.

Mencetuskan penyusuan ibu atau induce lactation bagi ibu angkat yang hendak menyusukan anak angkat bukanlah suatu perkara yang mudah kerana biasanya ibu-ibu ini tidak pernah hamil atau tidak pernah melahirkan anak. Jadi proses pembentukan dan kematangan kelenjar mamari seperti yang dialami semasa proses kehamilan tidak pernah berlaku kepada ibu-ibu ini. Namun ini tidak boleh menjadi penghalang kepada ibu-ibu angkat berusaha menghasilkan susu ibu untuk diberikan kepada anak angkat mereka.

Memberikan susu ibu kepada anak angkat bukanlah semata-mata untuk menjadikan anak itu muhrim kepada ibu bapa angkat tetapi lebih kepada memberikan makanan terbaik untuk bayi. Susu ibu tetap yang terbaik berbanding susu formula. Seperti yang dinyatakan oleh Dr. Jack Newman di dalam bukunya, The Ultimate Breastfeeding Book of Answers, susu formula bukanlah pilihan kedua terbaik selepas susu ibu. Susu formula adalah pilihan keempat selepas susu perahan ibu dan susu ibu daripada ibu susuan.

Semasa kehamilan, badan wanita akan meningkatkan penghasilan hormon progesteron dan estrogen (dirembeskan oleh ovari) dan hormon prolaktin (dirembeskan oleh kelenjar pituitari) untuk menyediakan payudara bagi penyusuan ibu. Di akhir kehamilan, aras hormon progesteron dan hormon estrogen akan menurun manakala aras hormon prolaktin akan bertambah untuk memulakan penghasilan dan pengeluaran susu ibu di payu dara. Prosedur inilah yang cuba ditiru untuk membolehkan ibu-ibu yang tidak pernah hamil mengalami proses mencetuskan susu ibu di payu dara mereka. Apabila susu ibu sudah berjaya dihasilkan maka langkah seterusnya menjadi lebih mudah iaitu meningkatkan dan mengekalkan penghasilan susu ibu.

Pil perancang
Bilakah induce lactation harus bermula? Sebaik-baiknya lebih awal bermula lebih baik hasil yang akan diperoleh dalam usaha mencetuskan susu ibu. Sebagai contoh, ibu boleh bermula enam bulan atau lebih awal sebaik sahaja mengambil keputusan menerima bayi angkat untuk menyediakan susu ibu kepada bakal bayinya.

Ringkasnya, mencetuskan susu ibu ada empat fasa. Fasa satu adalah dengan memakan pil perancang dan Domperidone untuk membolehkan badan "meniru" proses pembentukan kelenjar mamari sebagaimana yang berlaku semasa proses kehamilan. Fasa dua pula adalah menghentikan pil perancang tetapi teruskan Domperidone untuk mencetuskan penghasilan susu ibu. Fasa tiga adalah memerah susu untuk menggalakkan penghasilan dan pengeluaran susu ibu dan fasa empat dengan memberi bayi menyusu terus daripada payudara ibu untuk meningkatkan rangsangan ke atas payudara bagi menggalakkan penghasilan lebih banyak susu.

Nasihat
Nasihat saya kepada ibu (ibu angkat) ialah susu ibu tetap makanan terbaik bagi bayi baru lahir. Sebaik-baiknya susukan bayi sekurang-kurang selama enam bulan pertama hayatnya, ibu harus berfikiran positif, cekal, sabar dan mempunyai keyakinan yang tinggi untuk berjaya mencetuskan susu ibu.

Penghasilan susu ibu bergantung kepada tindak balas hormon dan rembesan hormon bergantung kepada "arahan" daripada otak. Jadi didiklah otak supaya mahu bekerjasama dengan kita untuk menghasilkan susu ibu yang mencukupi untuk bayi anda. 

Latih bayi menyusu terus daripada payu dara ibu untuk meningkatkan rangsangan bagi menghasilkan lebih banyak susu. Jika perlu alat SNS (rujuk rajah di bawah) boleh digunakan. Jangan sesekali memperkenalkan puting tiruan kepada bayi. Walaupun ketika susu ibu masih belum mencukupi dan ibu terpaksa memberi susu formula kepada bayi, gunakan sudu atau cawan kecil bagi mengelak bayi keliru puting. Jika masalah keliru puting berlaku lebih sukar memujuk bayi menyusu daripada payu dara ibu. Kesannya payu dara kurang dirangsang maka penghasilan susu akan berkurangan. 

Dapatkan nasihat doktor dan pakar laktasi untuk membincangkan penggunaan pil dan ubat-ubatan di atas. Kenal pasti juga kesan sampingan yang mungkin berlaku dengan penggunaan ubat-ubatan tersebut.

Hukum
Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa menggunakan ubat atau suntikan untuk merangsang pengeluaran susu badan adalah harus dengan syarat seorang wanita telah mencapai umur baligh sama ada berkahwin atau sebaliknya dan ubat atau hormon yang digunakan tidak mengandungi sebarang unsur najis atau mudarat. Keharusan ini tidak tertakluk bagi seorang lelaki yang berubah menjadi wanita melalui pertukaran jantina.
Jumhur fuqaha' juga sepakat bahawa terdapat dua kaedah penyusuan bagi menjadikan bayi mahram dengan sebab susuan, iaitu penyusuan secara langsung daripada payudara dan secara tidak langsung menggunakan tiub, botol susu dan sebagainya. 

Sehubungan itu, bagi wanita yang menggunakan alat sokongan atau alat bantuan sebagai kaedah menyusukan bayi, Muzakarah memutuskan bahawa bayi tersebut sah sebagai anak susuan apabila cukup syarat penyusuan yang ditetapkan oleh Syarak seperti berikut:
(i) Bilangan susuan hendaklah dengan lima kali penyusuan.
(ii) Susu yang dihisap mestilah sampai ke perut bayi.
(iii) Umur bayi tidak melebihi dua tahun mengikut perkiraan bulan qamariah. 

Hujah thabitan ini kerana susu ibu tersebut telah menjadi makanan asasi kepada bayi yang menumbuhkan daging dan memanjangkan tulang, sama seperti bayi yang menyusu secara terus daripada payu dara. 

Bagaimanapun, sekiranya kaedah yang dilakukan adalah dengan cara menyuntik susu melalui qubul atau dubur, menitik susu ke dalam mata, telinga atau di tempat luka tubuh badan, maka bayi tersebut tidak sah sebagai anak susuan. Muzakarah juga memutuskan wanita beragama Islam tidak dilarang menyusukan bayi bukan Islam dan begitu juga bayi beragama Islam boleh menyusu kepada wanita bukan Islam kerana tidak ada nas syarak yang melarangnya. Penyusuan tersebut tidak memberi kesan kepada akidah dan agama bayi yang disusukan tersebut.

Muzakarah juga memutuskan susu ibu yang bercampur dengan bahan-bahan lain adalah sama seperti susu ibu yang tidak bercampur dengan makanan, minuman atau lainnya sepertimana pendapat yang rajih daripada ulama' mazhab Shafie dan Hambali, kerana untuk sah atau sabit menjadi anak susuan perlu memenuhi syarat-syarat penyusuan yang ditetapkan oleh Syarak.

Lelaki yang mengahwini wanita yang menyusukan bayi angkat dan bayi tersebut sah menjadi anak susuan, maka Muzakarah memutuskan suami kepada wanita berkenaan adalah menjadi mahram kepada anak susuan tersebut.

Sumber : http://www.utusan.com.my/utusan/Kesihatan/20130120/kn_01/Penyusuan-anak-angkat

Thursday, 26 January 2012

Boleh jejas keturunan dalam Islam

Oleh Mohd Fadly Samsudin
fadly@hmetro.com.my



PENYUSUAN susu ibu antara pendidikan awal dan utama bagi setiap bayi. Peranan itu hanya dianugerahkan kepada kaum wanita saja.

Bayi yang baru dilahirkan berasa selamat dan sungguh selesa apabila berada dalam dakapan ibunya ketika disusukan.

BANK SUSU...boleh menyebabkan percampuran serta kecelaruan keturunan yang membawa mudarat kepada umat Islam.

CABARAN...walau sesibuk mana sekalipun ibu berkerjaya perlu menyediakan stok susu kepada bayi ketika ketiadaan mereka.

BANYAK...ibu yang menyumbang susu mereka ke bank susu tidak mengetahui bayi yang akan memanfaatkan susunya.

BERI SUSU IBU...setiap bayi dilahirkan perlu bergantung pada susu ibu untuk membesar sehingga umur dua tahun.


Ia dapat merapatkan lagi hubungan antara ibu dan anaknya. Allah s.w.t memilih wanita kerana sifat keibuan yang kuat dalam diri mereka. 

Setiap bayi yang baru lahirkan dikurniakan naluri untuk menyusu daripada ibunya.


Menurut sejarah Islam, Rasulullah juga disusukan ibunya dan kemudian dihantar kepada ibu susuannya, Halimatus Saadiah. Di sebalik kisah itu, pasti kita dapat rasakan betapa besarnya peranan penyusuan susu ibu dalam kehidupan manusia.


Manusia yang hidup pada zaman dulu, hanya bergantung pada susu ibu untuk membesar sehingga umur mereka dua tahun. Jelaslah agama Islam amat menggalakkan penyusuan susu ibu. 

Maka menjadi kewajipan kepada ibu untuk menyusukan bayinya serta menyempurnakan hak bayinya menikmati kebaikan susu ibu jika mereka mampu.

Allah berfirman yang bermaksud: “Dan ibu-ibu menyusukan anak-anaknya dua tahun genap, bagi orang yang hendak menyempurnakan susuan. Kewajipan ke atas bapa memberi belanja ibu, anaknya itu dan pakaiannya secara makruf, tidaklah diberati seseorang melainkan sekadar tenaganya. Tidak mudarat ibu kerana anaknya dan tidak pula (mudarat) bapa kerana anaknya; dan terhadap waris pun demikian juga. Jika kedua-dua ibu bapa hendak menceraikan anaknya daripada menyusu (sebelum dua tahun), dengan kesukaan dan mesyuarat antara keduanya, maka tidaklah berdosa keduanya. Jika kamu mengkehendaki perempuan lain menyusukan anakmu, maka tidak berdosa kamu apabila kamu berikan upahnya secara makruf. Dan takutlah kepada Allah dan ketahuilah, bahawasanya Allah Maha Melihat apa-apa yang kamu kerjakan.” (Surah al-Baqarah ayat 233)

Ibu berkerjaya memberi alasan kesibukan kerjanya menyebabkan mereka gagal memberi perhatian khusus menyusukan bayi mereka.

Selain itu, terdapat juga golongan ibu yang bermasalah kerana pengeluaran susu tidak sempurna sehingga memaksa mereka mencari alternatif lain seperti memberikan susu formula sebagai tambahan kepada bayi mereka.

Malah ada ibu yang begitu menjaga penampilan diri selepas bersalin merasakan jika menyusukan bayinya akan menjejaskan potongan badan mereka. 

Apa saja alasannya, menyusukan bayi mampu merapatkan hubungan antara ibu dan anak sepanjang tempoh penyusuan itu. Jika ada ibu yang benar-benar tidak mampu menyusukan bayinya carilah alternatif terbaik seperti mengupah seorang yang dikenali dan rapat untuk dijadikan ibu susuannya.

Baru-baru ini, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-97 yang bersidang pada 15 hingga 17 Disember 2011 mengeluarkan fatwa mengharamkan penubuhan bank susu kerana ia boleh mengakibatkan percampuran dan kecelaruan keturunan yang boleh membawa umat Islam terjebak dalam keraguan.

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: “Apa yang diharamkan dengan sebab penyusuan adalah sama dengan apa yang diharamkan dengan sebab keturunan.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Menjaga keturunan termasuk dalam lima perkara wajib yang perlu dipelihara dalam syariat Islam. Tindakan yang boleh membawa kemudaratan kepada keturunan perlu dielakkan.

Selain itu, dalam keputusan itu, Muzakarah berpandangan hukum penubuhan bank susu berkait rapat dengan syarat pengharaman atas sebab susuan iaitu bayi yang menyusu dengan seorang wanita atau lebih daripada seorang wanita menyebabkan anak kandungnya menjadi adik-beradik susuan kepada bayi itu tadi.

Sebab itu, perkahwinan di antara mereka menjadi haram apabila memenuhi syarat yang ditetapkan. Pandangan itu selaras dengan pandangan Jumhur Fuqaha’ iaitu seseorang bayi sah sebagai anak susuan sama ada melalui penyusuan secara langsung (payudara) atau penyusuan secara tidak langsung. 

Daripada Ibnu Mas’ud berkata, tidak berlaku hukum penyusuan melainkan dengan apa yang menguatkan tulang dan menumbuhkan daging. (Riwayat Abu Daud).

Melihatkan kepada kesan percampuran keturunan di kalangan umat Islam pada masa akan datang, penubuhan bank susu itu tidak boleh diwujudkan.

Malah keperluannya juga tidak bertepatan kerana kita tidak berada dalam keadaan darurat sehingga boleh mengancam keperluan umat dalam masyarakat.

Muzakarah juga memutuskan harus bagi ibu menderma susu ibu secara sukarela dengan syarat keluarga bayi serta penderma saling mengenali.

Ia bagi memenuhi keperluan bayi pramatang yang memerlukan rawatan, ibu yang kekurangan susu dan ibu yang mempunyai penyakit kronik dan berjangkit sehingga tidak dapat menyusukan bayinya.

Penceramah bebas, Ustaz Mohamad Rani Awang Besar berkata, bank susu yang dicadangkan itu memberi implikasi besar terhadap kecelaruan keturunan yang dinyatakan.

“Ia benar kerana apabila susu itu dikumpulkan (bank) dengan banyak dan bercampur pula dengan susu ibu dari pelbagai latar belakang pastinya tidak menjamin pembahagian sempurna kerana mereka tidak mengetahui siapa bayi yang akan memanfaatkan susunya itu. 

“Sifat susu itu memang bersih dan suci namun ia menimbulkan keraguan kerana dibimbangi penerima susu (bayi) itu nanti kelak berkahwin dengan saudara susuannya,” katanya.

Beliau berkata, setiap ibu perlu menyusukan anak mereka selama dua tahun dan jika ada yang tidak mampu mereka boleh mengupah untuk menyusukan bayinya.

“Kita menyambut baik keputusan yang diputuskan Majlis Fatwa Kebangsaan berhubung perkara itu. Penjagaan keturunan begitu penting kerana Islam jelas mengharamkan adik-beradik susuan berkahwin sesama sendiri.

“Itulah sebabnya kita perlu mengelak dari awal sebelum berlakunya perkara sedemikian,” katanya.

Mohamad Rani berkata, bayi yang menyusu dengan ibu susuan sehingga lima kenyang mendapat taraf anak dengan ibunya. 

“Bermakna bayi itu akan menjadi saudara susuan dengan anak kandungnya termasuk suaminya turut menjadi ayah susuan. Namun hukum mahram anak susuan hanya berkaitan dengan hubungan perkahwinan dan ia tidak membabitkan urusan pembahagian harta pusaka.

“Berdasarkan sejarah nabi dan zaman sebelumnya, masyarakat Arab akan menghantar bayi mereka ke kawasan perkampungan untuk disusukan.

“Halimatus Saadiah menjadi ibu susu bertuah kerana menyusukan Rasulullah s.a.w. Ibu susunya itu juga merekod bayi yang pernah menyusu dengannya.

“Malah nabi menjalin hubungan yang sangat baik dengan saudara susuannya dan sering menziarahi mereka,” katanya.

Beliau berkata, bagi ibu yang berkerjaya, mereka kini mempunyai pelbagai cara bagi memberikan penyusuan ekslusif kepada si kecil sehingga bayi mereka berumur dua tahun.

“Barangkali, di tempat kerja mereka ada menyediakan nurseri yang memudahkan mereka memantau serta menyusukan anak pada waktu rehat. 

“Selain itu, jika tiada kesempatan, mereka boleh menyediakan stok susu hasil perahan yang diletakkan dalam peti dan diberikan kepada bayi yang tinggal bersama penjaga,” katanya.


Sumber : harian Metro 

Sunday, 15 January 2012

Bank susu ibu haram


2012/01/16

Majlis Fatwa memutuskan penubuhan membawa kemudaratan keturunan


PUTRAJAYA: Persoalan mengenai cadangan penubuhan bank susu ibu selesai apabila Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia memutuskan penubuhannya adalah haram kerana boleh mengakibatkan percampuran nasab dan membawa umat Islam terjebak dalam keraguan dan perkara yang haram. 



Keputusan yang diambil pada persidangan muzakarah kali ke-97 pada hujung tahun lalu, melihat kepada keperluan penubuhannya yang tidak berada dalam keadaan darurat sehingga mengancam keselamatan umat.


Sebelum ini, Berita Harian pernah menyiarkan perdebatan mengenai kewujudan komuniti, Human Milk For Human Baby (HM4HB) iaitu rangkaian perkongsian susu ibu global yang mempunyai puluhan ribu penyokong di laman sosial Facebook dari lebih 54 negara dan kira-kira 900 daripadanya rakyat Malaysia.


Walaupun HM4HB bertujuan mencari ibu susuan bagi membantu bayi pra-matang dan ibu bermasalah untuk menyusui bayi mereka kerana menghidap pelbagai penyakit termasuk HIV, namun timbul kebimbangan umat Islam terutama hukum hakam berkaitan ibu susuan.



Berikutan itu, ada pihak mencadangkan ditubuhkan bank susu bagi membolehkan keluarga yang memerlukan susu badan memperoleh bantuan secara lebih mudah.



Dalam kenyataan Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan yang disiarkan menerusi portal e-fatwa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) itu semalam, perkara itu diputuskan selepas ahli panel muzakarah mendengar taklimat dan penjelasan pakar serta meneliti keterangan, hujah dan pandangan yang dikemukakan.



“Muzakarah berpandangan bahawa menjaga keturunan, termasuk dalam lima perkara yang wajib dipelihara dalam syariat Islam. Oleh itu, apa-apa tindakan atau perbuatan yang boleh mendatangkan kemudaratan kepada nasab atau keturunan perlu dielakkan. 
“Muzakarah juga berpandangan bahawa hukum penubuhan bank susu amat berkait rapat dengan syarat pengharaman atas sebab susuan di mana bayi yang menyusu dengan seorang wanita atau lebih akan menjadi adik beradik susuan dan perkahwinan antara mereka adalah haram apabila memenuhi syarat ditetapkan,” katanya.



Bagi memenuhi keperluan bayi pra-matang yang memerlukan rawatan, manakala ibu mempunyai kekurangan susu atau mempunyai penyakit kronik/berjangkit dan tidak dapat menyusukan bayi, muzakarah memutuskan adalah harus bagi ibu menderma susu ibu secara sukarela kepada bayi yang memerlukan dan keluarga bayi serta penderma perlu saling mengenali.


Friday, 6 January 2012

Hukum Wanita Menyusukan Anak Angkat

Keputusan: 
 
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-96 yang bersidang pada 13-15 Oktober 2011 telah membincangkan mengenai Hukum Wanita Menyusukan Anak Angkat. Muzakarah telah membuat keputusan seperti berikut
 
Setelah meneliti keterangan, hujah-hujah dan pandangan yang dikemukakan, Muzakarah menegaskan bahawa Islam menggalakkan setiap ibu yang melahirkan anak untuk menyusukan sendiri bayi mereka dengan susu ibu sehingga mencapai usia dua tahun, sekiranya mereka mampu berbuat demikian. Namun begitu, Islam juga membenarkan wanita yang tidak melahirkan anak tetapi mengambil anak angkat, untuk menyusukan sendiri anak tersebut dengan bantuan rawatan perubatan.
 
Penegasan ini adalah berdasarkan pandangan Jumhur fuqaha’ yang tidak mensyaratkan seseorang wanita itu mesti hamil terlebih dahulu untuk menyusukan anak sepertimana pandangan Mazhab Hanbali, Syafie dan Hanafi yang menyatakan bahawa seorang perempuan yang hendak menyusukan seorang anak, tidak disyaratkan mempunyai suami yang menyetubuhinya.
 
Sehubungan itu, Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa menggunakan ubat atau suntikan untuk merangsang pengeluaran susu badan adalah harus dengan syarat ianya seorang wanita yang telah mencapai umur baligh sama ada telah berkahwin ataupun sebaliknya dan ubat atau hormon yang digunakan tersebut tidak mengandungi sebarang unsur-unsur najis atau mudharat. Keharusan ini tidak tertakluk bagi seorang lelaki yang berubah menjadi wanita melalui pertukaran jantina.
 
Jumhur fuqaha’ juga bersepakat bahawa terdapat dua kaedah penyusuan bagi menjadikan bayi tersebut mahram dengan sebab susuan, iaitu penyusuan secara langsung dari payudara dan penyusuan secara tidak langsung seperti menggunakan tiub, botol susu dan sebagainya. Sehubungan itu, bagi wanita yang menggunakan alat sokongan atau alat bantuan sebagai kaedah menyusukan bayi, Muzakarah memutuskan bahawa bayi tersebut sah sebagai anak susuan apabila cukup syarat-syarat penyusuan yang ditetapkan oleh Syarak seperti berikut:

a. bilangan susuan hendaklah dengan lima kali penyusuan;
b. susu yang dihisap mestilah sampai ke perut bayi; dan
c. umur bayi tidak melebihi dua tahun mengikut perkiraan bulan qamariah.
 
Hujah thabitan ini ialah kerana susu ibu tersebut telah menjadi makanan asasi kepada bayi yang menumbuhkan daging dan memanjangkan tulang, sama seperti bayi yang menyusu secara terus daripada payudara. Walau bagaimanapun, sekiranya kaedah yang dilakukan adalah dengan cara menyuntik susu melalui qubul atau dubur, menitik susu ke dalam mata, telinga atau di tempat luka tubuh badan, maka bayi tersebut tidak sah sebagai anak susuan.
 
Muzakarah juga memutuskan bahawa seorang wanita beragama Islam tidak dilarang untuk menyusukan bayi bukan Islam dan begitu juga seorang bayi beragama Islam boleh menyusu kepada wanita bukan Islam kerana tidak ada nas syarak yang melarangnya. Penyusuan tersebut tidak memberi kesan kepada aqidah dan agama bayi yang disusukan tersebut.
 
Muzakarah juga memutuskan bahawa susu ibu yang bercampur dengan bahan-bahan lain adalah sama seperti susu ibu yang tidak bercampur dengan makanan, minuman atau lainnya sepertimana pendapat yang rajih daripada ulama’ mazhab Shafie dan Hanbali, kerana untuk thabit menjadi anak susuan ialah perlu memenuhi syarat-syarat penyusuan yang ditetapkan oleh Syarak.
 
Bagi seorang lelaki yang mengahwini wanita yang menyusukan bayi angkat dan bayi tersebut telah thabit menjadi anak susuan, maka Muzakarah memutuskan bahawa lelaki yang menjadi suami kepada wanita berkenaan adalah menjadi mahram kepada anak susuan tersebut.
 

Hukum Penubuhan Bank Susu

Keputusan: 
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-97 yang bersidang pada 15-17 Disember 2011 telah membincangkan mengenai Hukum Penubuhan Bank Susu. Muzakarah telah membuat keputusan seperti berikut:
Setelah mendengar taklimat dan penjelasan pakar serta meneliti keterangan, hujah-hujah dan pandangan yang dikemukakan, Muzakarah berpandangan bahawa menjaga keturunan adalah termasuk dalam lima perkara yang wajib dipelihara dalam syariat Islam. Oleh itu, apa-apa tindakan atau perbuatan yang boleh mendatangkan kemudaratan kepada nasab atau keturunan perlulah dielakkan.
Muzakarah juga berpandangan bahawa hukum penubuhan bank susu amat berkaitrapat dengan syarat-syarat pengharaman atas sebab susuan di mana bayi-bayi yang menyusu dengan seorang wanita atau lebih daripada seorang wanita akan menjadi adik beradik susuan dan perkahwinan antara mereka adalah haram apabila memenuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan.
Pandangan ini adalah selaras dengan pandangan Jumhur Fuqaha’ bahawa seseorang bayi itu sah sebagai anak susuan samada melalui penyusuan secara langsung dari payudara atau penyusuan secara tidak langsung. Juga berdasarkan hadith riwayat Abu Daud:

عَنْ ابْنِ مَسْعُودٍ قَالَ لا رِضَاعَ إِلا مَا شَدَّ الْعَظْمَ وَأَنْبَتَ اللَّحْم
رواه أبو داود                                                                                    
Maksudnya:
Daripada Ibn Mas`ud berkata, tidak berlaku hukum penyusuan melainkan dengan apa yang menguatkan tulang dan menumbuhkan daging.
Sehubungan itu, memandangkan penubuhan bank susu boleh mengakibatkan percampuran nasab dan membawa umat Islam terjebak dalam keraguan dan perkara yang haram, dan keperluan penubuhannya juga tidak berada dalam keadaan darurat sehingga mengancam maslahah awam, Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa penubuhan bank susu adalah tidak diharuskan.
Muzakarah juga memutuskan bahawa bagi memenuhi keperluan bayi pra-matang yang memerlukan rawatan, juga ibu yang mempunyai kekurangan susu atau mempunyai penyakit kronik/berjangkit dan tidak dapat menyusukan bayi, adalah harus bagi ibu-ibu menderma susu ibu secara sukarela kepada bayi-bayi yang memerlukan dan keluarga bayi serta perderma perlu mengenali antara satu sama lain.