Oleh Mohd Fadly Samsudin
fadly@hmetro.com.my
fadly@hmetro.com.my
PENYUSUAN susu ibu antara pendidikan awal dan utama bagi setiap bayi. Peranan itu hanya dianugerahkan kepada kaum wanita saja.
Bayi yang baru dilahirkan berasa selamat dan sungguh selesa apabila berada dalam dakapan ibunya ketika disusukan.
BANK SUSU...boleh menyebabkan percampuran serta kecelaruan keturunan yang membawa mudarat kepada umat Islam. |
CABARAN...walau sesibuk mana sekalipun ibu berkerjaya perlu menyediakan stok susu kepada bayi ketika ketiadaan mereka. |
BANYAK...ibu yang menyumbang susu mereka ke bank susu tidak mengetahui bayi yang akan memanfaatkan susunya. |
BERI SUSU IBU...setiap bayi dilahirkan perlu bergantung pada susu ibu untuk membesar sehingga umur dua tahun. |
Ia dapat merapatkan lagi hubungan antara ibu dan anaknya. Allah s.w.t memilih wanita kerana sifat keibuan yang kuat dalam diri mereka.
Setiap bayi yang baru lahirkan dikurniakan naluri untuk menyusu daripada ibunya.
Menurut sejarah Islam, Rasulullah juga disusukan ibunya dan kemudian dihantar kepada ibu susuannya, Halimatus Saadiah. Di sebalik kisah itu, pasti kita dapat rasakan betapa besarnya peranan penyusuan susu ibu dalam kehidupan manusia.
Manusia yang hidup pada zaman dulu, hanya bergantung pada susu ibu untuk membesar sehingga umur mereka dua tahun. Jelaslah agama Islam amat menggalakkan penyusuan susu ibu.
Maka menjadi kewajipan kepada ibu untuk menyusukan bayinya serta menyempurnakan hak bayinya menikmati kebaikan susu ibu jika mereka mampu.
Allah berfirman yang bermaksud: “Dan ibu-ibu menyusukan anak-anaknya dua tahun genap, bagi orang yang hendak menyempurnakan susuan. Kewajipan ke atas bapa memberi belanja ibu, anaknya itu dan pakaiannya secara makruf, tidaklah diberati seseorang melainkan sekadar tenaganya. Tidak mudarat ibu kerana anaknya dan tidak pula (mudarat) bapa kerana anaknya; dan terhadap waris pun demikian juga. Jika kedua-dua ibu bapa hendak menceraikan anaknya daripada menyusu (sebelum dua tahun), dengan kesukaan dan mesyuarat antara keduanya, maka tidaklah berdosa keduanya. Jika kamu mengkehendaki perempuan lain menyusukan anakmu, maka tidak berdosa kamu apabila kamu berikan upahnya secara makruf. Dan takutlah kepada Allah dan ketahuilah, bahawasanya Allah Maha Melihat apa-apa yang kamu kerjakan.” (Surah al-Baqarah ayat 233)
Ibu berkerjaya memberi alasan kesibukan kerjanya menyebabkan mereka gagal memberi perhatian khusus menyusukan bayi mereka.
Selain itu, terdapat juga golongan ibu yang bermasalah kerana pengeluaran susu tidak sempurna sehingga memaksa mereka mencari alternatif lain seperti memberikan susu formula sebagai tambahan kepada bayi mereka.
Malah ada ibu yang begitu menjaga penampilan diri selepas bersalin merasakan jika menyusukan bayinya akan menjejaskan potongan badan mereka.
Apa saja alasannya, menyusukan bayi mampu merapatkan hubungan antara ibu dan anak sepanjang tempoh penyusuan itu. Jika ada ibu yang benar-benar tidak mampu menyusukan bayinya carilah alternatif terbaik seperti mengupah seorang yang dikenali dan rapat untuk dijadikan ibu susuannya.
Baru-baru ini, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-97 yang bersidang pada 15 hingga 17 Disember 2011 mengeluarkan fatwa mengharamkan penubuhan bank susu kerana ia boleh mengakibatkan percampuran dan kecelaruan keturunan yang boleh membawa umat Islam terjebak dalam keraguan.
Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: “Apa yang diharamkan dengan sebab penyusuan adalah sama dengan apa yang diharamkan dengan sebab keturunan.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Menjaga keturunan termasuk dalam lima perkara wajib yang perlu dipelihara dalam syariat Islam. Tindakan yang boleh membawa kemudaratan kepada keturunan perlu dielakkan.
Selain itu, dalam keputusan itu, Muzakarah berpandangan hukum penubuhan bank susu berkait rapat dengan syarat pengharaman atas sebab susuan iaitu bayi yang menyusu dengan seorang wanita atau lebih daripada seorang wanita menyebabkan anak kandungnya menjadi adik-beradik susuan kepada bayi itu tadi.
Sebab itu, perkahwinan di antara mereka menjadi haram apabila memenuhi syarat yang ditetapkan. Pandangan itu selaras dengan pandangan Jumhur Fuqaha’ iaitu seseorang bayi sah sebagai anak susuan sama ada melalui penyusuan secara langsung (payudara) atau penyusuan secara tidak langsung.
Daripada Ibnu Mas’ud berkata, tidak berlaku hukum penyusuan melainkan dengan apa yang menguatkan tulang dan menumbuhkan daging. (Riwayat Abu Daud).
Melihatkan kepada kesan percampuran keturunan di kalangan umat Islam pada masa akan datang, penubuhan bank susu itu tidak boleh diwujudkan.
Malah keperluannya juga tidak bertepatan kerana kita tidak berada dalam keadaan darurat sehingga boleh mengancam keperluan umat dalam masyarakat.
Muzakarah juga memutuskan harus bagi ibu menderma susu ibu secara sukarela dengan syarat keluarga bayi serta penderma saling mengenali.
Ia bagi memenuhi keperluan bayi pramatang yang memerlukan rawatan, ibu yang kekurangan susu dan ibu yang mempunyai penyakit kronik dan berjangkit sehingga tidak dapat menyusukan bayinya.
Penceramah bebas, Ustaz Mohamad Rani Awang Besar berkata, bank susu yang dicadangkan itu memberi implikasi besar terhadap kecelaruan keturunan yang dinyatakan.
“Ia benar kerana apabila susu itu dikumpulkan (bank) dengan banyak dan bercampur pula dengan susu ibu dari pelbagai latar belakang pastinya tidak menjamin pembahagian sempurna kerana mereka tidak mengetahui siapa bayi yang akan memanfaatkan susunya itu.
“Sifat susu itu memang bersih dan suci namun ia menimbulkan keraguan kerana dibimbangi penerima susu (bayi) itu nanti kelak berkahwin dengan saudara susuannya,” katanya.
Beliau berkata, setiap ibu perlu menyusukan anak mereka selama dua tahun dan jika ada yang tidak mampu mereka boleh mengupah untuk menyusukan bayinya.
“Kita menyambut baik keputusan yang diputuskan Majlis Fatwa Kebangsaan berhubung perkara itu. Penjagaan keturunan begitu penting kerana Islam jelas mengharamkan adik-beradik susuan berkahwin sesama sendiri.
“Itulah sebabnya kita perlu mengelak dari awal sebelum berlakunya perkara sedemikian,” katanya.
Mohamad Rani berkata, bayi yang menyusu dengan ibu susuan sehingga lima kenyang mendapat taraf anak dengan ibunya.
“Bermakna bayi itu akan menjadi saudara susuan dengan anak kandungnya termasuk suaminya turut menjadi ayah susuan. Namun hukum mahram anak susuan hanya berkaitan dengan hubungan perkahwinan dan ia tidak membabitkan urusan pembahagian harta pusaka.
“Berdasarkan sejarah nabi dan zaman sebelumnya, masyarakat Arab akan menghantar bayi mereka ke kawasan perkampungan untuk disusukan.
“Halimatus Saadiah menjadi ibu susu bertuah kerana menyusukan Rasulullah s.a.w. Ibu susunya itu juga merekod bayi yang pernah menyusu dengannya.
“Malah nabi menjalin hubungan yang sangat baik dengan saudara susuannya dan sering menziarahi mereka,” katanya.
Beliau berkata, bagi ibu yang berkerjaya, mereka kini mempunyai pelbagai cara bagi memberikan penyusuan ekslusif kepada si kecil sehingga bayi mereka berumur dua tahun.
“Barangkali, di tempat kerja mereka ada menyediakan nurseri yang memudahkan mereka memantau serta menyusukan anak pada waktu rehat.
“Selain itu, jika tiada kesempatan, mereka boleh menyediakan stok susu hasil perahan yang diletakkan dalam peti dan diberikan kepada bayi yang tinggal bersama penjaga,” katanya.
Sumber : harian Metro
No comments:
Post a Comment