Keputusan:
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama
Islam Malaysia Kali Ke-96 yang bersidang pada 13-15 Oktober 2011 telah
membincangkan mengenai Hukum Wanita Menyusukan Anak Angkat. Muzakarah
telah membuat keputusan seperti berikut
Setelah meneliti keterangan, hujah-hujah dan pandangan yang
dikemukakan, Muzakarah menegaskan bahawa Islam menggalakkan setiap ibu
yang melahirkan anak untuk menyusukan sendiri bayi mereka dengan susu
ibu sehingga mencapai usia dua tahun, sekiranya mereka mampu berbuat
demikian. Namun begitu, Islam juga membenarkan wanita yang tidak
melahirkan anak tetapi mengambil anak angkat, untuk menyusukan sendiri
anak tersebut dengan bantuan rawatan perubatan.
Penegasan ini adalah berdasarkan pandangan Jumhur fuqaha’ yang tidak
mensyaratkan seseorang wanita itu mesti hamil terlebih dahulu untuk
menyusukan anak sepertimana pandangan Mazhab Hanbali, Syafie dan Hanafi
yang menyatakan bahawa seorang perempuan yang hendak menyusukan seorang
anak, tidak disyaratkan mempunyai suami yang menyetubuhinya.
Sehubungan itu, Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa menggunakan ubat
atau suntikan untuk merangsang pengeluaran susu badan adalah harus
dengan syarat ianya seorang wanita yang telah mencapai umur baligh sama
ada telah berkahwin ataupun sebaliknya dan ubat atau hormon yang
digunakan tersebut tidak mengandungi sebarang unsur-unsur najis atau
mudharat. Keharusan ini tidak tertakluk bagi seorang lelaki yang berubah
menjadi wanita melalui pertukaran jantina.
Jumhur fuqaha’ juga bersepakat bahawa terdapat dua kaedah penyusuan
bagi menjadikan bayi tersebut mahram dengan sebab susuan, iaitu
penyusuan secara langsung dari payudara dan penyusuan secara tidak
langsung seperti menggunakan tiub, botol susu dan sebagainya. Sehubungan
itu, bagi wanita yang menggunakan alat sokongan atau alat bantuan
sebagai kaedah menyusukan bayi, Muzakarah memutuskan bahawa bayi
tersebut sah sebagai anak susuan apabila cukup syarat-syarat penyusuan
yang ditetapkan oleh Syarak seperti berikut:
a. bilangan susuan hendaklah dengan lima kali penyusuan;
b. susu yang dihisap mestilah sampai ke perut bayi; dan
c. umur bayi tidak melebihi dua tahun mengikut perkiraan bulan qamariah.
Hujah thabitan ini ialah kerana susu ibu tersebut telah
menjadi makanan asasi kepada bayi yang menumbuhkan daging dan
memanjangkan tulang, sama seperti bayi yang menyusu secara terus
daripada payudara. Walau bagaimanapun, sekiranya kaedah yang dilakukan
adalah dengan cara menyuntik susu melalui qubul atau dubur, menitik susu
ke dalam mata, telinga atau di tempat luka tubuh badan, maka bayi
tersebut tidak sah sebagai anak susuan.
Muzakarah juga memutuskan bahawa seorang wanita beragama Islam tidak
dilarang untuk menyusukan bayi bukan Islam dan begitu juga seorang bayi
beragama Islam boleh menyusu kepada wanita bukan Islam kerana tidak ada
nas syarak yang melarangnya. Penyusuan tersebut tidak memberi kesan
kepada aqidah dan agama bayi yang disusukan tersebut.
Muzakarah juga memutuskan bahawa susu ibu yang bercampur dengan
bahan-bahan lain adalah sama seperti susu ibu yang tidak bercampur
dengan makanan, minuman atau lainnya sepertimana pendapat yang rajih
daripada ulama’ mazhab Shafie dan Hanbali, kerana untuk thabit menjadi
anak susuan ialah perlu memenuhi syarat-syarat penyusuan yang ditetapkan
oleh Syarak.
Bagi seorang lelaki yang mengahwini wanita yang menyusukan bayi angkat
dan bayi tersebut telah thabit menjadi anak susuan, maka Muzakarah
memutuskan bahawa lelaki yang menjadi suami kepada wanita berkenaan
adalah menjadi mahram kepada anak susuan tersebut.
No comments:
Post a Comment