SAYA telah berkahwin selama 15 tahun tetapi tidak mempunyai anak.
Saya dan suami telah mencuba pelbagai rawatan sama ada secara moden atau
tradisional. Malangnya kami masih tidak berjaya. Kami juga mencuba
rawatan secara persenyawaan in-vitro (IVF) sebanyak dua kali namun saya
masih tidak hamil. Kami reda dan bercadang mengambil anak angkat. Mohon
doktor membantu cara untuk mencetuskan penyusuan ibu bagi anak angkat
tersebut. Bilakah cara yang patut dimulakan? Bagaimanakah hukum
berkenaan bayi susuan ini?
Artikah, Selangor
JAWAPAN:
Saya amat memahami keadaan puan dan suami. Saya tahu puan ialah
seorang yang amat tabah. Insya-Allah saya amat yakin puan akan berjaya
untuk menyusukan anak angkat puan nanti.
Mencetuskan penyusuan ibu atau induce lactation bagi ibu angkat yang
hendak menyusukan anak angkat bukanlah suatu perkara yang mudah kerana
biasanya ibu-ibu ini tidak pernah hamil atau tidak pernah melahirkan
anak. Jadi proses pembentukan dan kematangan kelenjar mamari seperti
yang dialami semasa proses kehamilan tidak pernah berlaku kepada ibu-ibu
ini. Namun ini tidak boleh menjadi penghalang kepada ibu-ibu angkat
berusaha menghasilkan susu ibu untuk diberikan kepada anak angkat
mereka.
Memberikan susu ibu kepada anak angkat bukanlah semata-mata untuk
menjadikan anak itu muhrim kepada ibu bapa angkat tetapi lebih kepada
memberikan makanan terbaik untuk bayi. Susu ibu tetap yang terbaik
berbanding susu formula. Seperti yang dinyatakan oleh Dr. Jack Newman di
dalam bukunya, The Ultimate Breastfeeding Book of Answers, susu formula
bukanlah pilihan kedua terbaik selepas susu ibu. Susu formula adalah
pilihan keempat selepas susu perahan ibu dan susu ibu daripada ibu
susuan.
Semasa kehamilan, badan wanita akan meningkatkan penghasilan hormon
progesteron dan estrogen (dirembeskan oleh ovari) dan hormon prolaktin
(dirembeskan oleh kelenjar pituitari) untuk menyediakan payudara bagi
penyusuan ibu. Di akhir kehamilan, aras hormon progesteron dan hormon
estrogen akan menurun manakala aras hormon prolaktin akan bertambah
untuk memulakan penghasilan dan pengeluaran susu ibu di payu dara.
Prosedur inilah yang cuba ditiru untuk membolehkan ibu-ibu yang tidak
pernah hamil mengalami proses mencetuskan susu ibu di payu dara mereka.
Apabila susu ibu sudah berjaya dihasilkan maka langkah seterusnya
menjadi lebih mudah iaitu meningkatkan dan mengekalkan penghasilan susu
ibu.
Pil perancang
Bilakah induce lactation harus bermula? Sebaik-baiknya lebih awal
bermula lebih baik hasil yang akan diperoleh dalam usaha mencetuskan
susu ibu. Sebagai contoh, ibu boleh bermula enam bulan atau lebih awal
sebaik sahaja mengambil keputusan menerima bayi angkat untuk menyediakan
susu ibu kepada bakal bayinya.
Ringkasnya, mencetuskan susu ibu ada empat fasa. Fasa satu adalah
dengan memakan pil perancang dan Domperidone untuk membolehkan badan
"meniru" proses pembentukan kelenjar mamari sebagaimana yang berlaku
semasa proses kehamilan. Fasa dua pula adalah menghentikan pil perancang
tetapi teruskan Domperidone untuk mencetuskan penghasilan susu ibu.
Fasa tiga adalah memerah susu untuk menggalakkan penghasilan dan
pengeluaran susu ibu dan fasa empat dengan memberi bayi menyusu terus
daripada payudara ibu untuk meningkatkan rangsangan ke atas payudara
bagi menggalakkan penghasilan lebih banyak susu.
Nasihat
Nasihat saya kepada ibu (ibu angkat) ialah susu ibu tetap makanan
terbaik bagi bayi baru lahir. Sebaik-baiknya susukan bayi
sekurang-kurang selama enam bulan pertama hayatnya, ibu harus berfikiran
positif, cekal, sabar dan mempunyai keyakinan yang tinggi untuk berjaya
mencetuskan susu ibu.
Penghasilan susu ibu bergantung kepada tindak balas hormon dan
rembesan hormon bergantung kepada "arahan" daripada otak. Jadi didiklah
otak supaya mahu bekerjasama dengan kita untuk menghasilkan susu ibu
yang mencukupi untuk bayi anda.
Latih bayi menyusu terus daripada payu dara ibu untuk meningkatkan
rangsangan bagi menghasilkan lebih banyak susu. Jika perlu alat SNS
(rujuk rajah di bawah) boleh digunakan. Jangan sesekali memperkenalkan
puting tiruan kepada bayi. Walaupun ketika susu ibu masih belum
mencukupi dan ibu terpaksa memberi susu formula kepada bayi, gunakan
sudu atau cawan kecil bagi mengelak bayi keliru puting. Jika masalah
keliru puting berlaku lebih sukar memujuk bayi menyusu daripada payu
dara ibu. Kesannya payu dara kurang dirangsang maka penghasilan susu
akan berkurangan.
Dapatkan nasihat doktor dan pakar laktasi untuk membincangkan
penggunaan pil dan ubat-ubatan di atas. Kenal pasti juga kesan sampingan
yang mungkin berlaku dengan penggunaan ubat-ubatan tersebut.
Hukum
Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa menggunakan ubat atau suntikan
untuk merangsang pengeluaran susu badan adalah harus dengan syarat
seorang wanita telah mencapai umur baligh sama ada berkahwin atau
sebaliknya dan ubat atau hormon yang digunakan tidak mengandungi
sebarang unsur najis atau mudarat. Keharusan ini tidak tertakluk bagi
seorang lelaki yang berubah menjadi wanita melalui pertukaran jantina.
Jumhur fuqaha' juga sepakat bahawa terdapat dua kaedah penyusuan
bagi menjadikan bayi mahram dengan sebab susuan, iaitu penyusuan secara
langsung daripada payudara dan secara tidak langsung menggunakan tiub,
botol susu dan sebagainya.
Sehubungan itu, bagi wanita yang menggunakan alat sokongan atau alat
bantuan sebagai kaedah menyusukan bayi, Muzakarah memutuskan bahawa bayi
tersebut sah sebagai anak susuan apabila cukup syarat penyusuan yang
ditetapkan oleh Syarak seperti berikut:
(i) Bilangan susuan hendaklah dengan lima kali penyusuan.
(ii) Susu yang dihisap mestilah sampai ke perut bayi.
(iii) Umur bayi tidak melebihi dua tahun mengikut perkiraan bulan qamariah.
Hujah thabitan ini kerana susu ibu tersebut telah menjadi makanan
asasi kepada bayi yang menumbuhkan daging dan memanjangkan tulang, sama
seperti bayi yang menyusu secara terus daripada payu dara.
Bagaimanapun,
sekiranya kaedah yang dilakukan adalah dengan cara menyuntik susu
melalui qubul atau dubur, menitik susu ke dalam mata, telinga atau di
tempat luka tubuh badan, maka bayi tersebut tidak sah sebagai anak
susuan. Muzakarah juga memutuskan wanita beragama Islam tidak dilarang
menyusukan bayi bukan Islam dan begitu juga bayi beragama Islam boleh
menyusu kepada wanita bukan Islam kerana tidak ada nas syarak yang
melarangnya. Penyusuan tersebut tidak memberi kesan kepada akidah dan
agama bayi yang disusukan tersebut.
Muzakarah juga memutuskan susu ibu yang bercampur dengan bahan-bahan
lain adalah sama seperti susu ibu yang tidak bercampur dengan makanan,
minuman atau lainnya sepertimana pendapat yang rajih daripada ulama'
mazhab Shafie dan Hambali, kerana untuk sah atau sabit menjadi anak
susuan perlu memenuhi syarat-syarat penyusuan yang ditetapkan oleh
Syarak.
Lelaki yang mengahwini wanita yang menyusukan bayi angkat dan bayi
tersebut sah menjadi anak susuan, maka Muzakarah memutuskan suami kepada
wanita berkenaan adalah menjadi mahram kepada anak susuan tersebut.
Sumber : http://www.utusan.com.my/utusan/Kesihatan/20130120/kn_01/Penyusuan-anak-angkat
As salam.
ReplyDeleteSaya mempunyai seorang anak angkat berusia 4 bulan. saya bercadang untuk menyusukan anak tersebut supaya menjadi anak susuan saya. Untuk itu, saya telahpun mengambil suntikan di klinik pakar pada dua minggu lepas, dan turut diberikan 2 jenis ubat, motilium dan metoclopramide untuk dimakan selama 2 minggu. Namun, masih belum kelihatan susu keluar dari payudara saya. Saya seorang yang bekerja. Saya diberitahu, tekanan kerja boleh menyebabkan pengeluaran susu terganggu. Saya benar-benar ingin menyusukan anak angkat saya. Apakah yang perlu saya lakukan? Bayi saya telah pun minum susu formula menggunakan botol. Harap puan dapat membantu. Terima kasih.
Suhana Rosli (shanarosli@Gmail.com)
boleh saya tau puan ambk suntikan di klink mana
DeleteSalam, Puan boleh rujuk FB Group Kump. Ibu2 Menyusukan.
ReplyDeletePerbincangan lebih aktif di sana. Di sana juga ada senarai LC yang boleh dirujuk kerana relaktasi memerlukan bimbingan penuh dari Kaunselor Laktasi.
Klik https://www.facebook.com/groups/KIM.susuibu/doc/184974148196654/
salam alaik..nk minta tolong tanyakan kt mommies..sy dh 8 bulan stop pump susu..sy epmom..anak sy x nk susu lain selain susu ibu..sekarang bergantung pd ibu susuan..nak tanya,boleh x bg cadangan klinik yg boleh wt cucuk hormon nk bg susu keluar blk?sy xnk mkn ubat yg demporidone..xsesuai ngan sy..kalo boleh nk area ipoh atau dlm perak..tq sgt2
ReplyDeleteSalam sy ada ambik anak angkt tapi sy dah cucuk tapi baby x pndai isap mcm mn ye
ReplyDeleteBoleh saya tau.. Cucuk dkt mne ye? Ada mkn ubat juga x?
Deletesaya dah berkahwin....saya sendiri mempunyai masa kitaran haid yg x menentu & untuk haid datang kadang setahun dua baru ada..itu pun klu saya rujuk klinik dan makan ubat...pasangan saya juga mempunyai masalah kesihatan...usia kami pun dah berusia.saya bercadang ingin mengambil anak angkat dari lahir...dan hendak menyusukan anak tersebut..bagaimana caranya dan apa perlu saya buat.
ReplyDelete